Pasukan Persatuan Amal Valley mengeluarkan mayat pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais pertimbang NGOi penuhi syarat terlibat urus jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 24 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedia mempertimbangkan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) yang memenuhi syarat untuk terlibat dalam urusan jenazah pesakit Covid-19.

“Penglibatan NGOi perlu mematuhi syarat ditentukan Jais. Sehubungan itu, mana-mana pertubuhan atau yayasan yang memenuhinya, akan dipertimbangkan untuk bersama dalam urusan berkaitan di negeri ini,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Antara syarat perlu dipatuhi adalah:

– NGOi perlu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau Pemerbadanan Pemegang Amanah jika berentiti yayasan. Lulus dalam tempoh enam bulan

– NGOi perlu mengangkat syiar Islam, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau pelanggaran undang-undang

– Bersifat kesukarelawanan, petugas beragama Islam dan 18 tahun ke atas, mempunyai akhlak baik, menjaga reputasi Islam

– Sebarang caj dikenakan oleh NGOi atau yayasan berkaitan pengurusan jenazah perlu dalam kadar munasabah yang ditetapkan hospital

– Bersedia berkhidmat di bawah kawalan dan seliaan Jais

– Hadir ke program berkaitan fiqh pengurusan jenazah

– Tidak dibenarkan memungut dana awam atau salah guna tauliah yang diberi Jais

– Tidak menimbulkan sebarang konflik atau provokasi atau sebarang sentimen berkaitan politik

– Jika anggota NGOi atau yayasan adalah kakitangaan awam atau badan berkanun perlu minta izin ketua jabatan

– Mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan pihak berkuasa


Pengarang :