Penggali kubur dan pasukan Persatuan Amal Valley menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais sedia tanggung kos pengebumian jika waris tidak mampu

SHAH ALAM, 10 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersedia menampung kos pengebumian mangsa Covid-19 sekiranya waris tidak berkemampuan.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihak hospital boleh berhubung dengan Jais jika berlaku kes sedemikian ketika menguruskan jenazah.

“Namun, setakat ini kita lihat rata-ratanya waris masih mampu untuk bayar tetapi jika ada, pihak hospital boleh hubungi saya dan kita akan bantu,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara bertajuk Pengurusan Jenazah Covid-19 di Selangor yang disiarkan di YouTube SelangorTV malam tadi.

Pada 2 Ogos, Jais memaklumkan tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris bagi setiap pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh jabatan itu.

Mohd Shahzihan berkata bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan termasuk kos membuat keranda jika perlu.

Sementara itu, beliau turut meminta masyarakat agar tidak menyelar agensi terbabit yang didakwa lewat dalam menguruskan jenazah mangsa Covid-19.

“Kita hanya akan mengurus jenazah yang telah dilepaskan hospital kepada kita dan Jais juga hanya mengurus jenazah secara harian dan bukan lambakan,” jelasnya.


Pengarang :