Petugas kesihatan yang lengkap memakai alat perlindungan diri (PPE) menguruskan seramai 15 jenazah pesakit Covid-19 yang dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dikebumikan secara serentak di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pada 9 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais tambah khidmat NGO-i bantu urus jenazah mangsa Covid-19

SHAH ALAM, 10 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersedia menambah khidmat pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i) bagi mempercepat pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pertubuhan tersebut perlu mematuhi syarat dan kod etika ditetapkan bagi mengelak keraguan dan fitnah terhadap agensi Islam itu.

“Setakat ini kita ada kira-kira lapan NGO-i dan sedang dalam pertimbangan untuk menambah lagi empat ke lima lagi bagi membantu mengurus jenazah dengan lebih cepat dan sistematik,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara bertajuk Pengurusan Jenazah Covid-19 di Selangor yang disiarkan di SelangorTV malam tadi.

Sementara itu, Mohd Shahzihan menegaskan tiada caj dikenakan kepada keluarga atau waris bagi setiap pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh jabatan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan antaranya kos keranda jika perlu.

“Bayaran pengurusan oleh NGO telah wujud sebelum pandemik, terpulang kepada waris untuk buat pilihan,” katanya.

 


Pengarang :