Ahli Pusat Berdaya Wanita (PWB) bergambar bersama kit tuala wanita ketika Program Sumbangan Tuala Wanita Sempena Kempen Peduli Kemiskinan Haid di Dewan Serbaguna MBPJ SS5A/15, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 28 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN
SELANGOR

Jangan malu beri sumbangan tuala wanita kepada kaum hawa

PETALING JAYA, 29 OGOS: Badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta atau masyarakat tidak perlu malu memberi tuala wanita sebagai sebahagian barangan sumbangan kepada kaum hawa.

Pengarah Program Kempen Peduli Kemiskinan Haid, Maisarah Ismail berkata ramai wanita sebenarnya tidak mampu untuk membeli tuala wanita terutama ketika dilanda wabak Covid-19.

Pengarah Program Kempen Peduli Kemiskinan Haid, Maisarah Ismail

“Sebagai seorang wanita, sebenarnya kemiskinan haid itu berlaku cuma adakalanya masyarakat terlepas pandang walhal ‘pad’ (tuala wanita) ini merupakan keperluan penting.

“Orang ramai menganggap lampin bayi sahaja yang penting setiap kali mahu hulur bantuan. Saya sendiri tidak dapat bayangkan jika wanita dewasa mahupun remaja terputus pendapatan sehingga tidak boleh membeli ‘pad’ sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kempen Kemiskinan Haid di Dewan Serbaguna SS5A/15, Kelana Jaya semalam.

Sebanyak 250 pek tuala wanita sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI diagihkan kepada wanita sekitar Kelana Jaya.

Sementara itu, Maisarah berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa cakna dengan masalah dihadapi wanita dan berharap bantuan itu diteruskan lagi pada masa akan datang.


Pengarang :