Empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan pada 13 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Jangan sebar spekulasi kes tembak anggota TUDM – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap tiada sebarang spekulasi dan penyebaran berita tidak benar, berhubung insiden tembakan di Unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kota Samarahan, Kuching, pada Khamis yang mengorbankan empat anggota TUDM.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Timbalan Perdana Menteri berkata ia bagi menjaga sensitiviti serta nama baik ahli keluarga perajurit yang terlibat, sehingga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris semua perajurit negara yang terkorban dalam insiden tembakan tersebut.

“ATM telah menyampaikan sumbangan kebajikan sewajarnya kepada waris mangsa. Semoga semua rakyat Malaysia dapat bersama berdoa dan memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

Dalam kejadian semalam, empat anggota TUDM terkorban iaitu Kpl U Mohamad Ehsan Sehamat, Laskar Udara (LU) Nesly Anak Nabau, Kpl U Ho Swee Boon dan Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli.

– BERNAMA


Pengarang :