Rodziah Ismail bercakap kepada media ketika majlis penyerahan geran peralatan Sitham Yayasan Hijrah Selangor di Taman Melur, Ampang pada 14 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jawatankuasa pemulihan tangani projek rumah terbengkalai

SHAH ALAM, 27 OGOS:  Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk menangani isu 111 projek terbengkalai melibatkan 15,010 unit rumah yang belum mempunyai kontraktor atau pemaju penyelamat.

EXCO Perumahan berkata projek itu dipantau Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan Jawatankuasa Kecil Pemulihan  Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kerajaan Negeri bertindak sebagai fasilitator dalam usaha memulih atau menyelesaikan isu projek terbengkalai walaupun bidang kuasa pihaknya terhad.

“Antara tindakan yang diambil adalah mengadakan rundingan dengan pembeli rumah, pemilik tanah, tuan tanah, pemaju asal, Jabatan Insolvensi secara berkala bertujuan mencari kaedah penyelesaian terbaik.

“Perbincangan dengan semua jabatan teknikal juga diambil bagi mempercepatkan pemulihan projek dengan mengenakan syarat minima serta kos tambahan kecil tanpa mengabaikan isu keselamatan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong mengenai isu projek perumahan terbengkalai.

Rodziah dalam pada itu memaklumkan daripada 111 projek bermasalah, daerah Klang merekod 39 projek membabitkan 4,392 unit.

“Daerah Petaling pula lima projek membabitkan 299 unit, Gombak pula 11 projek (3,066 unit), Hulu Langat 13 projek (3,303 unit) dan Sepang sembilan projek (256 unit).

“Kuala Langat pula sebanyak 20 projek (752 unit), Kuala Selangor empat (140 unit), Hulu Selangor sembilan (2,772) dan Sabak Bernam satu (30 unit),” katanya.


Pengarang :