Seorang penduduk di satu kawasan perumahan di Perak dilanda banjir cuba memindahkan pakaian di kawasan selamat . Foto Facebook Info Kemalangan & Bencana Malaysia
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Perak terus turun kepada 241 orang

IPOH, 24 OGOS: Jumlah mangsa banjir di dua daerah di Perak semakin berkurang petang ini dengan hanya 241 orang daripada 66 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 247 orang daripada 67 keluarga pada pagi tadi.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak, jumlah mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di daerah Larut, Matang dan Selama turun kepada 70 orang daripada 23 keluarga berbanding 76 orang daripada 24 keluarga.

“Di daerah Kerian pula, jumlah mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu kekal sama seperti pagi tadi iaitu 60 orang daripada 17 keluarga, begitu juga di PPS SK Changkat Lobak jumlah mangsa masih sama seramai 111 orang daripada 26 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Di daerah Kampar, PPS Dewan Serbaguna Kampung Batu 20 ditutup sepenuhnya pada jam 1 tengah hari tadi berikutan air banjir yang telah surut selain kediaman mangsa selamat untuk diduduki semula.

Dalam pada itu, Jabatan Metreologi Malaysia menerusi ciapan dalam akaun Twitter rasmi memaklumkan ribut petir atau hujan lebat diramal berlaku sehingga petang ini di beberapa negeri seperti Perlis, Kedah dan Perak.

– BERNAMA


Pengarang :