Jalan raya Alor Pongsu-Selama masih ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air banjir di KM 147 Changkat Lobak di sini sejak Jumaat lalu akibat limpahan air Sungai Beriah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir Perak meningkat kepada 284 orang

IPOH, 22 OGOS: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di negeri ini meningkat kepada 284 orang daripada 78 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 222 orang pagi tadi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata terdapat peningkatan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu daerah Kerian iaitu daripada 44 orang pagi tadi kepada 68 orang petang ini membabitkan 19 keluarga.

“Di daerah yang sama, mangsa di PPS SK Changkat Lobak meningkat kepada 104 mangsa daripada 25 keluarga. Di daerah Larut Matang dan Selama pula, jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Matang menurun kepada 102 mangsa berbanding pagi tadi seramai 107 mangsa,” katanya.

Sementara itu di daerah Kampar sebuah PPS baharu telah dibuka pada 11 pagi tadi iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Batu 20 berikutan banjir yang berlaku di Kampung Batu 20 melibatkan 10 mangsa daripada dua keluarga.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi pula memaklumkan setakat 1.30 tengah hari tadi hanya kenderaan berat sahaja boleh melepasi kawasan banjir selepas laluan keluar Plaza Tol Alor Pongsu (luar kawasan selenggaraan PLUS).

– BERNAMA


Pengarang :