Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Jeram di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 3 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Jumlah pesakit kategori tiga hingga lima di Lembah Klang turun

SHAH ALAM , 19 OGOS: Program pemberian vaksin di Lembah Klang termasuk Selangor berjaya menurunkan kes kategori tiga hingga lima, kata perdana menteri hari ini.

Selain Lembah Klang, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Sarawak, Negeri Sembilan dan Labuan turut menunjukkan kejayaan sama.

“Kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori tiga hingga lima apabila liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus,” katanya di Facebook.

Pesakit kategori tiga mengalami jangkitan paru-paru, kategori empat (perlukan bantuan oksigen) dan kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).

Tambahnya, keadaan di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik, contohnya purata pesakit yang menunggu untuk dibawa ke wad telah menurun.

“Situasi ini dilihat selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang yang memberangsangkan iaitu 73.8 peratus,” katanya.

Sebanyak 50.2 peratus atau 11,743,096 populasi dewasa negara ini lengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, sekali gus berada pada landasan tepat untuk mencapai imuniti kelompok.


Pengarang :