Sukarelawan Selvax, membantu orang ramai mengimbas apikasi selangkah sebelum membenarkan masuk ke bilik bagi mengambil suntikan vaksin ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Semenyih di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Evomall,Bandar Baru Bangi pada 17 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Jurujual lega lengkap dos vaksin walaupun tersesat hingga Putrajaya

BANGI, 17 OGOS: Seorang jurujual menarik nafas lega apabila lengkap menerima dos vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall di sini, hari ini walaupun tersesat hingga ke Putrajaya.

Siti Khalijah Huzaini, 21 dari Kapar berkata dia tidak menjangka perjalanan yang sepatutnya sekitar sejam mengambil masa dua jam setengah gara-gara tersesat.

Jurujual, Siti Khadijah Huzaini, 21

“Sebelum ini waktu dos pertama saya menaiki kereta bersama pengurus  tetapi kali ini saya datang dengan ibu naik motosikal itu yang tersalah jalan hingga ke Putrajaya.

“Kami bertolak dari Kapar jam 8 pagi tetapi 10.30 pagi baru sampai. Namun saya bersyukur kerana berjaya melengkapkan dua dos vaksin demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Pekerja kedai serbaneka, Zairil Anuar Sarudin, 21 berhasrat untuk pulang ke Sabah selepas selesai menerima dua dos pelalian kerana sudah letih dengan situasi Covid-19.

Jurujual, Zairil Anuar Sarudin, 21

“Sekarang ini nak masuk ke mana-mana tempat perlu ada dua dos vaksin tidak mustahil jika mahu menaiki kapal terbang nanti akan diletakkan syarat yang sama.

“Saya cadang apabila cukup duit nanti mahu pulang ke Sabah dengan segera kerana sudah tidak tahan dengan situasi di sini, lebih baik saya berada dekat dengan keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah tidak menjangka akan menerima vaksin walaupun pada awalnya hanya menemani anaknya yang menerima janji temu pada hari ini.

Noraini Mad Soror, 56 berkata dia hanya mencuba nasib bertanya kepada sukarelawan dan mereka memaklumkan dia layak untuk menerima vaksin.

Suri rumah, Noraini Mad Soror, 56

“Jun lepas saya ada terima janji temu tetapi mereka tidak benarkan saya terima vaksin kerana bacaan darah tinggi ketika jadi mereka beri saya surat rujukan ke klinik kesihatan.

“Namun sehingga kini tiada maklum balas, mungkin pada waktu itu situasi masih baru jadi sedikit kelam kabut apabila membabitkan mereka yang mempunyai penyakit,” katanya.


Pengarang :