Selangorkini
Petugas Lembaga Zakat Selangor (LZS) menemu bual pekerja Malindo Airways Sdn Bhd yang terjejas akibat Covid-19 di pejabat syarikat itu di Ara Damansara pada 22 Disember 2020. Foto Facebook LZS
AGENDA NASIONAL

Kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus, tertinggi dalam tiga dekad

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kadar pengangguran di negara ini meningkat kepada 4.5 peratus tahun lalu, iaitu tertinggi dicatatkan setelah hampir tiga dekad.

Ketua perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu dipengaruhi pelaksanaan pemberhentian pekerja oleh organisasi perniagaan yang terjejas bagi mengekalkan kelangsungan operasi, lapor Berita Harian.

“Semua negeri merekodkan peningkatan dalam kadar pengangguran didahului oleh Sabah (8.0 peratus), Labuan (7.2 peratus) dan Perak (4.8 peratus).

“Kadar pengangguran yang rendah antaranya dicatatkan Putrajaya (1.5 peratus), Melaka (2.2 peratus) dan Pahang (3.1 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Laporan Sosioekonomi Negeri 2020 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Beliau berkata krisis kesihatan yang melanda  berikutan penularan Covid-19 meninggalkan impak yang mendalam kepada landskap sosioekonomi negara.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia secara keseluruhannya menguncup pada kadar 5.6 peratus pada 2020, iaitu kedudukan kedua terendah selepas 1998 yang merekodkan penyusutan 7.4 peratus.

“Pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan aktiviti rentas negeri serta penutupan sempadan antarabangsa telah merencatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.


Pengarang :