Pengusaha syarikat perkhidmatan papan tanda dan percetakan Muhammad Zul Affendi tekun menyiapkan kerja bagi memenuhi pesanan pelanggan dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di kediamannya di Sikamat, Negeri Sembilan pada 29 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kajian: 73 peratus mahu ubah suai kediaman, pindah akibat pandemik

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Kira-kira 73 peratus rakyat Malaysia berhasrat mengubah suai kediaman mereka setelah menghabiskan lebih banyak masa di rumah akibat Covid-19, demikian menurut Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru bagi separuh kedua 2021.

Hasil kaji selidik itu mendapati sebanyak 38 peratus responden mahu mengubah suai atau membaik pulih ruang tertentu di kediaman mereka, manakala 35 peratus lagi memikirkan untuk memiliki rumah atau berpindah dari lokasi semasa.

Menurut kajian itu, pandemik Covid-19 telah mempengaruhi tanggapan rakyat Malaysia mengenai ruang kediaman dengan tiga daripada empat orang (77 peratus) orang kini menganggap pentingnya mempunyai ruang tambahan di rumah bagi hartanah baharu untuk dijadikan pejabat.

Peningkatan kemahuan memiliki rumah atau berpindah rumah kepada hartanah yang dapat memenuhi keperluan mereka adalah sangat tinggi terutamanya dalam kalangan penyewa (74 peratus), individu yang tinggal bersama ibu bapa (63 peratus) dan kumpulan berpendapatan rendah (50 peratus).

Menurut Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, Malaysia telah melalui pelbagai bentuk kawalan pergerakan sejak 17 bulan lepas dan masa yang dihabiskan di rumah telah membuatkan banyak pihak menyedari kepentingan dan faedah memiliki ruang peribadi sendiri, terutamanya bagi mereka yang bekerja secara jarak jauh.

“Kesan pandemik dari segi bagaimana mereka merancang kehidupan di rumah lebih terserlah dalam kalangan anak muda di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang masih tinggal bersama ibu bapa, yang menamakan ‘keperluan terhadap lebih banyak ruang peribadi’ sebagai antara sebab utama mereka ingin membeli rumah baharu,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kajian berkenaan, tiga faktor utama yang dinyatakan mereka yang mahu membeli hartanah adalah untuk tujuan pelaburan (43 peratus), keperluan mempunyai lebih banyak ruang peribadi (26 peratus) dan peluang menggunakan kelebihan kadar faedah rendah yang diberikan pada masa ini (27 peratus).

Menurutnya kadar faedah dan prospek harga yang memberangsangkan serta kepuasan hartanah semasa yang tinggi telah meningkatkan kajian keseluruhan indeks sentimen sebanyak tiga mata daripada 42 pada separuh pertama 2021 kepada 45 pada separuh kedua 2021.

Sebaliknya, sentimen rakyat Malaysia terhadap iklim semasa hartanah merosot tiga mata daripada 35 pada separuh pertama 2021 kepada 32 pada separuh kedua 2021.

“Bagaimanapun, keinginan untuk memiliki rumah tetap kuat dalam kalangan rakyat Malaysia kerana empat daripada lima orang berhasrat membeli hartanah di Malaysia pada masa hadapan,” kata Fernandez.

Hasil kajian mendapati berbanding separuh pertama 2021, lebih ramai rakyat Malaysia pada masa ini tidak pasti mengenai harga hartanah (56 peratus; meningkat daripada 52 peratus), mengalami kelewatan dalam urus niaga hartanah (51 peratus; naik daripada 42 peratus) dan sukar mendapatkan pinjaman perumahan (46 peratus; naik daripada 43 peratus) pada separuh kedua 2021 akibat pandemik.

Menurut PropertyGuru, pencari rumah di Malaysia turut berkongsi dua kekangan utama untuk mengambil pinjaman perumahan pada separuh kedua 2021 iaitu tidak mampu membayar wang pendahuluan dan pekerjaan atau gaji yang tidak stabil.

Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah pelepasan hartanah seperti lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga akhir tahun ini, hanya 16 peratus rakyat Malaysia berpendapat usaha kerajaan untuk menjadikan perumahan mampu milik itu adalah memadai.

Rakyat Malaysia juga percaya insentif kewangan daripada pemaju hartanah seperti diskaun atau pulangan tunai (84 peratus), pakej dan skim pembelian (66 peratus), serta baucar atau hadiah (38 peratus) membantu mendorong keputusan untuk membeli rumah pada masa hadapan.

-BERNAMA

 


Pengarang :