Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawaan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kapasiti katil hospital di Lembah Klang Raya ditingkatkan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kapasiti katil di hospital awam dan swasta yang merawat pesakit Covid-19 di kawasan Lembah Klang Raya (GKV) dipertingkat, termasuk menukarkan fungsi kawasan guna semula dalam hospital sebagai wad pesakit.

Komander Pasukan Bertindak Khas GKV (GKV STF) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata langkah berkenaan dibuat berikutan situasi terkini penularan wabak itu di GKV merangkumi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata inisiatif lain iaitu penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan ke hospital swasta turut dilakukan bagi membolehkan lebih banyak katil di hospital awam digunakan untuk pesakit Covid-19.

“Perkhidmatan ambulan juga dipertingkatkan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jababatan Bomba dan Penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah.

“Selain itu, isolasi di rumah dan pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya dibuat bagi pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata GKV STF turut menjalinkan kerjasama dengan NGO dan sukarelawan bagi melaksanakan pengesanan kontak rapat.

Sehingga kini, di GKV terdapat 29 hospital awam dan 51 hospital swasta serta dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk empat hospital penuh rawatan Covid-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Serdang.

-BERNAMA


Pengarang :