AGENDANASIONAL

Kekal 30 peratus kawasan hutan simpan keputusan tepat, wajar

SHAH ALAM, 23 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah keputusan mengekalkan keluasan hutan simpan kekal tidak kurang 30 peratus daripada tanah negeri ini adalah tepat dan wajar dalam melaksanakan agenda hijau.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah setakat ini 31.47 peratus keluasan negeri melibatkan 250,000 hektar kawasan sudah diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

“Kerajaan Negeri Selangor turut menyasarkan 32 peratus kawasan diwartakan sebagai hutan kekal simpan pada 2025,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, Selangor merupakan satu-satunya negeri yang menguatkuasakan penyiasatan awam sebagai syarat penyahwartaan hutan simpanan kekal.

“Hal ini menunjukkan tahap komitmen dan kesungguhan tinggi Kerajaan Negeri Beta dalam melindungi sumber hutan selaras dengan agenda pembangunan hijau negeri,” titah Baginda.

Baginda juga mengingatkan kerajaan pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari supaya terus melaksanakan agenda hijau untuk menarik pelaburan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim untuk tempoh masa yang panjang.

Titah Sultan Sharafuddin, perubahan iklim atau kejadian bencana alam menyebabkan impak negatif terhadap ekonomi.

“Kerajaan Beta berpandangan wujud keperluan menggiatkan lagi usaha memastikan ekonomi lebih tangkas ketika berdepan ancaman dan risiko, sama ada perubahan iklim, bencana alam seperti banjir dan kejadian lain yang mengancam dan menggugat kesejahteraan rakyat,” titah Baginda.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.


Pengarang :