Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin.
AGENDANASIONAL

Kematian Shazni satu kehilangan besar, contoh pemimpin muda berpendirian

SHAH ALAM, 13 OGOS: Barisan pimpinan muda ketika ini perlu bersikap berani dalam membawa perjuangan parti, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor berkata semangat luar biasa itu ditonjolkan Ketua Pemuda Amanah Allahyarham Shazni Munir Mohd Ithnin yang sentiasa bersungguh sejak melibatkan diri dalam politik.

“Saya antara kelompok awal dan Shazni merupakan junior. Sebenarnya saya hormat generasi selepas saya kerana mereka lebih berani malah generasi sekarang tidak mampu tandingi keberanian mereka,” katanya.

Beliau berkata dalam program memperingati Shazni Munir yang disiar secara langsung di Facebook Liga Rakyat Demokratik pada malam tadi.

Program bermula dengan bacaan Yassin turut disertai Presiden Amanah Mohamad Sabu; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua; Setiusaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan aktivis, Adam Adli Abd Halim.

Dato’ Menteri Besar menganggap pemergian Shazni satu kehilangan besar kepada generasi akan datang memandangkan hala tuju ideologi dibawanya bagus untuk pembangunan negara.

Meskipun tidak memiliki hubungan rapat, namun Amirudin melihat Shazni sangat bersemangat dan komited terhadap perjuangan.

“Beliau berpengalaman dan keberaniannya sangat luar biasa. Beliau tunjukkan sikap berpendirian dan bersungguh ketika berjuang. Kehilangan beliau beri kesan pada lapisan muda yang bakal memimpin masa hadapan,” katanya.

Shazni, 34, yang juga ketua Pemuda PAKATAN meninggal dunia pada 6 Ogos setelah dijangkiti Covid-19 pada pertengahan bulan itu. Allahyarham meninggalkan tiga orang anak dan seorang balu.


Pengarang :