Petugas kesihatan membantu menolak kerusi roda warga emas yang selesai melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kenderaan GLC, van sekolah diguna bawa pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kerajaan Selangor akan mengguna pakai kenderaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan van sekolah untuk membawa pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau hospital.

Dato’ Menteri Besar berkata kapasiti itu akan ditambah dengan menggunakan kenderaan jabatan atau agensi bawah Kerajaan Negeri yang kakitangannya bekerja dari rumah.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari kemudahan itu disediakan bagi menggantikan ambulans awam serta swasta sekali gus memudahkan pesakit yang memerlukan rawatan segera.

“Kita akan mengguna beberapa kenderaan anak syarikat Kerajaan Negeri dan van sekolah bagi kemudahan membawa pesakit Covid-19 ke CAC atau hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video kemas kini usaha Kerajaan Selangor menggempur Covid-19 yang dikongsi di Facebooknya hari ini.

Menurut Amirudin, sebanyak 27 CAC secara fizikal beroperasi di negeri ini dengan dibantu CAC maya yang mana arahan pengawasan dari rumah (HSO) dilaksanakan menerusi digital.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut meminda beberapa laluan Bas Smart Selangor ke lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) bagi memudahkan orang ramai menerima suntikan.


Pengarang :