Malaysia menerima 200,000 dos vaksin Covid-19 dos tunggal jenis CanSino yang akan merancakkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 20 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan beli enam juta dos lagi vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 22 OGOS: Kerajaan membeli tambahan enam juta dos lagi vaksin Covid-19 yang akan diterima awal bulan depan, umum perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembelian itu dibuat kerana banyak manfaat diperoleh melalui kejayaan program vaksinasi itu kelak.

“Fakta terkini pada 20 Ogos membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila kes harian Labuan menurun secara konsisten kepada satu digit tujuh hari berturut-turut,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapan pertama sebagai perdana menteri kesembilan, hari ini.

Menurut beliau apabila negara mencapai imuniti kelompok, virus itu tidak lagi menjadi ancaman seperti ditakuti sekarang. Namun, bukan bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19.

Mengikut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), 54.3 peratus atau 12,718,701 populasi di negara ini telah melengkapkan dos suntikan setakat semalam.

Menerusi perkongsian infografik JKJAV itu juga, seramai 18,121,392 orang atau 77.4 peratus menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 30,840,093 dos.

 


Pengarang :