Selangorkini
EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tengah) bergambar bersama penunggang e-panggilan dalam program sumbangan kepada peserta RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri salur lebih RM300,000 bantu penunggang e-panggilan

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kerajaan Selangor menyalur bantuan kewangan berjumlah RM343,080 kepada lebih 600 peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), kata EXCO generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata bantuan RM500 setiap seorang dalam fasa pertama diberikan kepada penunggang e-panggilan dari Petaling, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

“Kita menyokong usaha belia mencari sumber ekonomi dengan menceburi perkhidmatan penghantaran makanan melalui syarikat Food Panda, Grab Food, Lalamove, McDonalds, Mr Speedy, BungkusIt dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

“Diharap inisiatif kewangan ini dapat merancakkan lagi ekonomi sampingan yang menjadi trend dalam kalangan belia,” katanya selepas menyerahkan cek cura kepada peserta RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Seksyen U19, di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,000 permohonan bantuan RiDE direkodkan tahun lalu dengan baki penerima di lima daerah lain akan diserahkan dalam tempoh terdekat.

“Penyerahan cek bantuan peserta dari Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Klang dijadual disampaikan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya.

RiDE dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor diteruskan tahun ini membabitkan peruntukan RM2 juta.

Inisiatif menyasarkan individu berusia 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan bawah RM2,000 dan memperoleh lesen motosikal B2.


Pengarang :