Khairuddin Othman menjawab pertanyaan media ketika Sidang Media Program Karnival Kerjaya Selangor Job Fair Tahun 2020 di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 9 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan negeri teruskan Selangor Job Fair 2021, tangani pengangguran

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Negeri tekad meneruskan program Selangor Job Fair tahun ini bagi mengembalikan rekod 2.5 peratus kadar pengangguran, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata program itu akan dijalankan secara fizikal dengan menumpukan daerah Petaling, Klang, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Sepang jika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilonggar.

Beliau menjelaskan usaha itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mahu Kerajaan Negeri memandang serius isu kehilangan pekerjaan golongan belia.

“Insya-Allah, jika tempoh ini (PPN) longgar kita boleh buat secara fizikal. Sekiranya tidak dibenarkan, program akan dilaksana dalam talian dengan mengumpulkan majikan di satu tempat dan mendapat kelulusan khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita mahu balik rekod 2.5 peratus memandangkan kadar (pengangguran) di Selangor ketika ini adalah 4.5 peratus,” katanya pada program bual bicara ‘Ikhtiar Selangor Bantu Belia’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam ini.

Pada 23 Ogos, Sultan Sharafuddin bertitah kadar pengangguran negara meningkat kepada 4.9 peratus pada 2020 berbanding 2019, 3.9 peratus.

Baginda bertitah walaupun terdapat sedikit pertumbuhan pada awal tahun, namun kadar itu kembali meningkat kepada 4.8 peratus selepas 40,600 pekerja hilang pekerjaan pada Jun 2021.

Untuk rekod, penganjuran Selangor Job Fair dua tahun lalu menerima penyertaan 200 syarikat dengan menawarkan 11,000 peluang pekerjaan termasuk 20 kepada Orang Kelainan Upaya (OKU).


Pengarang :