Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Selangor Youth Skills 2021 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 20 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri wujud hab inovasi tambah baik program sains sukan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri bakal mewujudkan Hab Inovasi Sukan Selangor dalam masa terdekat bagi menambah baik program sains sukan sedia ada.

EXCO sukan berkata ia susulan penganjuran Selangor Youth Skills (SYS) 2021 dan dikendalikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerusi Unit Inovasi Sukan.

“Agensi tersebut mempunyai sains sukan tetapi hanya memfokuskan kepada pembinaan dan kesihatan fizikal serta biomekanik dalam kalangan atlet di Selangor.

“Oleh demikian, kita berpendapat penubuhan hab ini memberi peluang kepada belia untuk menyumbangkan idea inovasi dalam bidang berkaitan selain menjadi peneraju pada masa hadapan” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata MSN Selangor akan mencari pelbagai teknologi contohnya daripada segi pakaian, basikal dan kerusi roda paralimpik atau yang bersesuaian untuk diperkenalkan kepada kerajaan Negeri.

Terdahulu Mohd Khairuddin hadir ke Majlis Pelancaran SYS 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

SYS 2021 yang bertemakan Inovasi Sukan Masa Hadapan mempertandingkan 10 sektor kemahiran iaitu filem dan video pendek, teknologi seni bina, hackathon, gubahan lagu, pembuatan perabot, teknologi grafik, ciptaan animasi, teknologi fesyen, reka bentuk terrarium dan pemasaran sosial media.


Pengarang :