Pengarah Perkeso negeri, Zainol Abu (dua, kiri) memberi penerangan kepada keluarga Menteri Besar Selangor sebelum menyerahkan cek cura khairat kematian kepada penerima Ira Maya Ramlie (dua, kanan) di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 29 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerjasama Perkeso, wakil rakyat Selangor mudahkan pencarum tuntut manfaat

SHAH ALAM, 29 OGOS: Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) menjalin kerjasama dengan 56 Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor bagi memudahkan urusan pencarum menuntut manfaat.

Pengarah Perkeso negeri Zainol Abu berkata wakil rakyat perlu memuat naik aplikasi Sahabat Perkeso Prihatin dan menyalur maklumat penduduk bermasalah termasuk membabitkan kematian di DUN mereka.

“Jadi Perkeso boleh bertindak lebih pantas membantu pencarum kerana ada pihak yang tidak tahu cara mendapatkan pampasan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Pengarah Perkeso Selangor, Zainol Abu

“Setakat ini ADN Kota Damansara Shatiri Mansor dan Batu Tiga Rodziah Ismail sudah menyertai program ini. Perkara ini sudah dimaklum kepada Dato’ Menteri Besar,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan wang khairat kematian kepada kakak ipar isteri Dato’ Seri Amirudin Shari yang kematian suami pada 22 Julai.

Dalam perkembangan lain Zainol berkata pihaknya membayar lebih RM3 juta pampasan kepada pekerja negeri ini yang dijangkiti Covid-19 termasuk meninggal dunia sepanjang penularan.

“Jumlah ini melibatkan 3,591 individu daripada 3,649 permohonan. Jadi mana-mana pekerja yang dijangkiti wabak ketika bekerja layak memohon,” katanya.

Khamis lalu di sidang Dewan Negeri Selangor, Amirudin memaklumkan 53,571 pekerja industri negeri ini dikesan positif Covid-19 hasil ujian saringan dijalankan sejak Julai lalu.


Pengarang :