Seorang sukarelawan (kiri) membantu orang ramai yang hadir tanpa janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) mega Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 7 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 naik mendadak, warga emas tekad dapatkan vaksin

SHAH ALAM, 8 OGOS: Seorang warga emas tekad hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam bagi mendapatkan suntikan walaupun pusat itu dibuka kepada individu 18 tahun ke atas.

Julie, 60, berkata beliau mengakui sepatutnya hadir pada 2 Ogos tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana berdepan masalah peribadi.

Julie

“Saya mengambil keputusan untuk hadir ke PPV ini dan tidak sangka dibenarkan menerima vaksin selain proses pemberian vaksin juga lancar.

“Sememangnya saya berharap menerima vaksin hari ini kerana khuatir peningkatan kes mendadak sejak beberapa hari ini,” katanya.

Manakala pekerja kilang logistik G Thiban, 19, berkata beliau mengambil kesempatan untuk hadir seketika di IDCC Shah Alam bagi mendapatkan suntikan vaksin tanpa janji temu.

G Thiban

“Walaupun dikenakan PKP saya tetap perlu bekerja dan berdepan dengan risiko jangkitan Covid-19 selain di rumah juga terdapat ibu bapa yang dalam golongan berisiko tinggi,” katanya.

Sementara itu, pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka Muhammad Nur Hazmi Noor Hazlan, 25, berkata beliau pernah menolak mendapatkan suntikan AstraZeneca (AZ) tetapi sehingga kini tidak mendapat mana-mana janji temu.

Muhammad Nur Hazmi Noor Hazlan

“Apabila mengetahui ada pemberian vaksin tanpa janji temu saya terus membuat keputusan untuk mendapatkan suntikan.

“Saya hendak mendapatkan vaksin kerana risau keadaan kesihatan ibu yang menghidap diabetes,” katanya.


Pengarang :