Petugas kesihatan sedang mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes di Selangor menurun sedikit walau jumlah seluruh negara meningkat

SHAH ALAM, 11 OGOS: Jumlah jangkitan di Selangor menurun sedikit kepada 6,921 kes walau angka di seluruh negara menyaksikan peningkatan kepada rekod kedua tertinggi dengan 20,780 kes hari ini.

Negeri itu menyaksikan aliran menurun selama beberapa hari selepas jumlah tinggi mencecah rekod 8,792 kes pada Jumaat lalu tetapi meningkat kembali kepada 7,338 kes semalam.

Malaysia merekodkan jumlah tertinggi dengan 20,889 kes pada Jumaat sebelum perlahan-lahan turun kepada 17,236 kes pada Isnin tetapi naik semula kepada 19,991 kes semalam.

Selepas Kuala Lumpur yang mencatatkan 2,065 kes, makin banyak negeri yang menunjukkan jangkitan lebih seribu kes: Johor (1,693), Kedah (1,534), Sabah (1,514), Pulau Pinang (1,385), Kelantan (1,284) dan Negeri Sembilan (1,015).

Daripada enam negeri lebih seribu kes, jumlah jangkitan di Johor, Sabah, Pulau Pinang dan Kelantan menunjukkan rekod tertinggi masing-masing hari ini.

Mengikut data yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook, lima negeri pula catat kes lebih 500 iaitu Perak 828 kes,  Sarawak (634), Melaka (636), Terengganu (613) dan Pahang (585).

Manakala, Putrajaya catat 41 kes, Perlis (29) dan Labuan (tiga) kes.

 


Pengarang :