Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 dalam bas yang disewa khas dengan kerjasama RapidKL ketika program Vaksin Orang Asli di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Desa Temuan Bukit Lanjan pada 11 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kesedaran makin tinggi, 60 peratus Orang Asli di Selangor selesai divaksin

DENGKIL, 14 OGOS: Sebanyak 60 peratus daripada 14,500 golongan dewasa dalam kalangan Orang Asli di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata peratusan tinggi didorong tahap kesedaran yang makin baik dan yakin jumlah itu meningkat kepada 80 peratus menjelang September.

“Kita akui pada mulanya berdepan masalah dengan sambutan tidak menggalakan kerana mereka takut jarum suntikan dan kurangnya tahap kesedaran mengenai kepentingan vaksin.

“Namun selepas ada dalam kalangan mereka yang terkena jangkitan Covid-19, masing-masing mulai sedar dan mula menerima vaksin,” kata Hee Loy Sian selepas menyerahkan bakul makanan di Kampung Orang Asli Sungai Buah di sini hari ini.

Sebelum ini, Loy Sian menyasarkan Orang Asli di negeri ini akan menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya bulan ini membabitkan 74 kampung.

Beliau berkata mereka divaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Vaksin Selangor.

Petang tadi, Dato’ Menteri Besar memaklumkan hampir 100 peratus penduduk dewasa di Selangor yang mendaftar telah menerima dos pertama suntikan.

Berdasarkan perkembangan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari menjangkakan kes Covid-19 di negeri ini menurun mulai September.


Pengarang :