Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawaan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM maksimumkan kapasiti hospital Klang rawat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pelbagai tindakan drastik dan segera dalam mengendalikan pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, termasuk memaksimumkan kapasiti untuk menerima kesemua pesakit yang memerlukan rawatan.

Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata pada hari ini kadar penggunaan katil (BOR) bagi pesakit Covid-19 di HTAR, yang dikategorikan sebagai Hospital Negeri dan Hospital Hibrid Covid-19 adalah 154.73 peratus atau 1,098 pesakit.

“Wad sedia ada juga dinaik taraf dan dibuat penambahbaikan dari segi kemudahan dan peralatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang terbaik dapat diberikan kepada pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafiq berkata demikian sebagai maklum balas kepada surat Ahli Parlimen Klang Charles Santiago bertarikh 11 Ogos 2021 dan laporan media berhubung situasi semasa Covid-19 di HTAR.

Katanya, dari aspek keperluan sumber manusia, sehingga 11 Ogos seramai 27 kakitangan kesihatan tambahan dimobilisasi dan proses lantikan kakitangan kesihatan secara tetap dan kontrak juga dipercepatkan bagi membantu menangani isu peningkatan kapasiti pesakit di fasiliti berkenaan.

“KKM juga menempatkan kakitangan daripada jabatan lain seperti doktor (12 pakar dan 53 pegawai perubatan), 10 Pegawai Perubatan Siswazah, 74 Jururawat Terlatih, 13 Jururawat Masyarakat, 129 Penolong Pegawai Perubatan dan 80 Pembantu Perawatan Kesihatan untuk bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta kawasan-kawasan liputan di HTAR, Klang,” katanya.

Mohd Shafiq berkata sepanjang tempoh Januari hingga Julai lepas, KKM meluluskan tambahan peruntukan RM57.3 juta khusus bagi perolehan peralatan perubatan seperti ventilator, katil pesakit, pam infusi, mesin glukosa darah, monitor pesakit dan lain-lain keperluan penting melalui perolehan darurat dan daripada jumlah itu, RM9.25 juta diperuntukkan khas kepada HTAR.

Selain itu, Mohd Shafiq berkata pada Julai lepas, KKM menghantar tambahan 151 katil pesakit ke hospital itu dan tambahan selanjutnya yang merangkumi 200 katil pesakit serta 30 ventilator akan dihantar awal minggu hadapan.

“Di samping itu, HTAR juga banyak menerima sumbangan ikhlas peralatan perubatan daripada pihak luar seperti badan bukan kerajaan, syarikat multinasional dan orang perseorangan. Sumbangan ini juga secara tidak langsung membantu KKM dalam memberi rawatan kepada pesakit,” katanya.

Berhubung tahap kebersihan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR, Mohd Shafiq berkata kekerapan kerja-kerja pembersihan dalam masa sehari dipertingkatkan, manakala penyediaan dan penghantaran makanan pesakit termasuk di jabatan berkenaan adalah mengikut jadual baharu yang diselaraskan.

KKM juga memaklumkan bermula 30 Julai, talian meja bantuan disediakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bagi membolehkan ahli keluarga mendapatkan maklumat terkini berhubung status kesihatan ahli keluarga yang terjejas akibat Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :