Pusat rawatan dan pemulihan kecederaan sukan menawarkan khidmat rawatan terbaik dengan harga kompetitif kepada pelanggan. Foto Laman sesawang FAS
AGENDANASIONAL

Klinik Fisio Selangor FC kini dibuka kepada orang ramai

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pusat rawatan dan pemulihan kecederaan sukan yang terletak bersebelahan pusat latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kini dibuka kepada orang awam.

Persatuan itu dalam kenyataan memaklumkan Klinik Fisio Red Giants (RGPC) kendalian Kelab Bolasepak Selangor (SFC) menawarkan khidmat rawatan terbaik dengan harga kompetitif kepada pelanggan.

“Perkhidmatan disediakan antaranya diagnosis kecederaan, khidmat konsultasi perubatan, rawatan sakit belakang, sakit leher, patah tulang, masalah postur badan dan pemulihan kecederaan sukan.

“Selain itu, RGPC dibarisi pakar fisioterapi berkemahiran tinggi dan berpengalaman sebagai tenaga utama yang telah terbukti merawat ramai atlet elit serta pemain bola sepak Selangor FC sebelum ini,” menurut laman sesawang FAS semalam.

Kenyataan itu turut memaklumkan pusat rawatan terbabit dilengkapi peralatan fisioterapi canggih dan terkini seperti sistem induktif super (SIS), tenaga pemindahan kapasitif dan resistif (Tecar) serta terapi laser dan terapi gelombang kejutan.

“Menjadi keutamaan kami memberikan servis terbaik untuk memastikan anda kembali pulih dari kecederaan,” menurut kenyataan itu lagi.

RGPC beroperasi setiap hari kecuali Ahad dari jam 11 pagi hingga 3 petang. Tempahan janji temu boleh dibuat dengan menghubungi 016-6251936 (WhatsApp).

 


Pengarang :