Orang awam yang disyaki positif Covid-19 hadir pada awal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KP kesihatan jangka kes harian turun akhir Ogos

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kes harian Covid-19 di seluruh negara akan menurun akhir bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sasaran itu dapat dicapai apabila lebih 40 peratus populasi lengkap dua dos.

“Dijangkakan kes akan mula menurun pada akhir bulan Ogos apabila lebih daripada 40 peratus populasi di Malaysia mendapat dos lengkap vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kenaikan kes dalam negara seiring global dengan lima negeri merekodkan kadar insiden tertinggi purata kes tujuh hari mulai 31 Julai per 100,000 ribu penduduk.

Menurutnya, Kuala Lumpur mencatatkan kadar insiden tertinggi iaitu 105.7, Selangor (101.5), Putrajaya (75.6), Negeri Sembilan (71.7), Melaka (53.8) dan Kedah (51.8).

Dr Noor Hisham berkata jumlah kluster juga meningkat daripada 286 kepada 401 dalam tempoh antara 23 Jun hingga 1 Ogos, manakala kluster tempat kerja naik dari 180 kepada 213.

Beliau berkata kluster komuniti turut meningkat dari 86 kepada 142 susulan saringan kontak rapat yang meluas dan tahap kesedaran tinggi masyarakat membuat ujian kendiri.

“Peningkatan kes juga dipercayai disumbang oleh penularan varian Delta. Sehingga kini sebanyak 199 kes varian Delta telah dikesan dalam komuniti.

“Varian Delta ini telah menyebabkan kadar jangkitan virus yang lebih cepat, agresif, dan kurang menunjukkan respon terhadap rawatan yang diberikan,” kata Dr Noor Hisham.


Pengarang :