Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyantuni penerima vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Kandis di Hotel De Palma Shah Alam pada 3 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kutipan tabung Palestin di peringkat akhir, hampir RM800,000 dikumpul

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kempen Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin kini di peringkat akhir membabitkan kutipan di kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan swasta.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata setakat ini jumlah sumbangan dikumpul berjumlah RM780,000 dengan RM1 juta disasarkan.

Menurutnya, tabung itu dilancarkan ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan banyak kekangan seperti tidak dapat membuat kutipan ramai ketika solat Jumaat.

“Jadi Kerajaan Negeri ambil langkah lain dengan mendekati syarikat swasta dan GLC, setakat ini RM350,000 daripada jumlah dikumpul sudah disalurkan bagi pembelian ambulans.

“Bagi baki kutipan RM250,000, kita akan minta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melihat ruang ada untuk memastikan rancangan ini mencapai sasaran (RM1 juta),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata demikian ketika ditemui selepas melawat program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dilancarkan Kerajaan Negeri pada 19 Mei lalu menyasarkan kutipan berjumlah RM1 juta sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang terjejas berikutan pergolakan berlaku di negara berkenaan.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke tabung berkenaan boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor/.


Pengarang :