Penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika tinjauan pada 4 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Laluan LRT dari Stesen Sentul Timur ke PWTC terganggu akibat trek diceroboh

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Laluan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang/Sri Petaling mengalami gangguan dari Stesen LRT Sentul Timur ke Stesen LRT PWTC susulan kejadian pencerobohan trek oleh seorang wanita pada pukul 4.45 petang hari ini.

Rapid KL dalam kenyataan bagaimanapun berkata perkhidmatan Laluan LRT Ampang/Sri Petaling dari Stesen LRT Putra Heights menuju Stesen LRT Ampang sehingga Stesen LRT Sultan Ismail beroperasi seperti biasa dan Rapid KL turut menyediakan bas perantara percuma selang 30 minit untuk ke Stesen LRT Sentul Timur dan sebaliknya.

“Penceroboh wanita yang masih belum dikenal pasti itu maut dalam insiden tersebut. Polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Sentul, Kementerian Kesihatan, Hospital Kuala Lumpur dan Agensi Pengangkutan Awam Darat, berada di lokasi untuk mengumpul bukti dan memulakan penyiasatan.

“Kami sangat berdukacita atas kejadian ini dan memohon maaf kepada para penumpang kami berikutan gangguan perkhidmatan ini. Demi keselamatan semua pihak, Stesen LRT Sentul Timur dan Stesen LRT PWTC akan ditutup sehingga dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

Susulan insiden berkenaan, Rapid KL memohon orang ramai agar berhenti berkongsi gambar-gambar insiden tersebut bagi menghormati privasi mangsa dan mengelak membuat spekulasi tentang motif pencerobohan trek itu.

“Rapid KL akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan. Kami juga sedang memulakan audit komprehensif terhadap langkah-langkah keselamatan dan keselamatan stesen-stesen kami bagi meminimumkan risiko kejadian insiden seumpama ini pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :