Exco Kesihatan Awam, Perpaduan Wanita & Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud ketika menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 27 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI
AGENDANASIONAL

Lebih 120,000 dos Selvax diberi kepada warga asing

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sebanyak 120,030 dos Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti dan Selvax Industri diberikan kepada warga asing setakat hari ini, kata EXCO Kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata selain Selvax, seramai 333,847 warga asing yang berdaftar dengan MySejahtera telah lengkap dua dos dan 597,724 lagi menerima dos pertama.

“Kerajaan Negeri tetap mengambil berat kesejahteraan warga asing kerana golongan ini juga sebahagian daripada komuniti selain turut menyumbang kepada ekonomi Selangor.

“Selvax Industri merupakan inisiatif Selangor bagi melengkapi usaha kerajaan persekutuan untuk mempercepat suntikan dalam kalangan warga asing,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berhubung program vaksinasi warga asing pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Siti Mariah memaklumkan antara cabaran yang dihadapi dalam pemberian suntikan kepada warga asing adalah ketiadaan dokumen sah menyebabkan golongan itu tidak mahu mengambil vaksin.

“Malah terdapat warga asing yang mempunyai dokumen dengan nombor pasport yang sama tetapi negara berlainan.

“Masalah lain adalah janji temu suntikan warga asing diberikan secara berkumpulan besar menyebabkan kesesakan pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk warga yang sedang dalam kuarantin tetapi hadir ke PPV,” katanya.


Pengarang :