Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada peserta ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti anjuran DUN Permatang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MDKS Bandar Baru, Kuala Selangor pada 26 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 1,300 di DUN Permatang terima dua dos vaksin

KUALA SELANGOR, 26 OGOS: Seramai 1,330 individu akan menerima dos kedua pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di sini.

Pengarah program berkata pemberian vaksin dalam program dua hari bermula hari ini diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Semua individu yang hadir hanya untuk melengkapkan dos vaksin membabitkan 678 orang hari ini manakala baki 652 pada esok.

Muhammad Fuadi Sharif. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah program berjalan lancar, seawal jam 8 pagi kita melihat ramai sudah beratur di luar pagar dewan seolah-olah tidak sabar untuk divaksin,” kata Muhammad Fuadi Sharif kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax Komuniti DUN Permatang di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 50 petugas dan sukarelawan ditempatkan di PPV itu bagi kelancaran proses vaksinasi pada program berkenaan.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :