Petugas kesihatan menunjukkan vaksin yang telah disukat sebelum disuntik kepada penerima dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Dusun Tua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Evo Mall Bandar Baru Bangi, Kajang pada 16 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Lebih 15,000 individu terima vaksin Selangor di PPV Evo Mall

BANGI, 16 OGOS: Lebih 15,000 individu sudah menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, di sini.

Penyelarasnya Amiroel Zhafran berkata jumlah direkodkan sejak 26 Jun hingga semalam itu turut melibatkan lebih 8,000 penyertaan berdaftar untuk Selvax Industri.

“Peserta ini daripada 60 syarikat yang mendaftar dengan Kerajaan Selangor bagi mempercepat proses vaksinasi kakitangan. Antara syarikat terlibat 99 Speed Mart, Public Bank dan DHL Express Malaysia.

Penyelaras pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Amiroel Zhafran. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami juga terima penyertaan kakitangan syarikat luar Selangor antaranya Lembaga Perumahan Melaka, M3 Atelier di Melaka dan Thiam Sieng Steel di Johor. Mereka mendapat kebenaran rentas negeri,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Amiroel operasi PPV berkenaan akan dihentikan sementara mulai 22 hingga 27 Ogos ini sebelum disambung pada 28 Ogos bagi proses suntikan dos kedua.

“Operasi berakhir sepenuhnya pada 3 September. Setakat ini majoriti peserta yang hadir dalam kalangan penduduk Hulu Langat termasuk warga asing,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :