Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar selepas menerima suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Jeram di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 3 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 19,000 slot baucar vaksin negeri boleh dituntut sehingga esok

SHAH ALAM, 12 OGOS: Lebih 19,000 slot baucar vaksin tanpa janji temu boleh dituntut sehingga esok melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk Tropicana Gardens Mall, Hotel De Palma Shah Alam, Aurora Place Bukit Jalil dan Evo Mall, Bandar Baru Bangi.

Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dalam kenyataan ringkas meminta orang ramai mengambil peluang tersebut dan mendaftar awal bagi mengurangkan masa menunggu.

“Program Selvax Komuniti akan tamat esok tetapi kami masih ada lebih daripada 19,000 slot baucar untuk dituntut.

“Jika anda belum dapat janji temu vaksin, inilah peluangnya. Daftar hari ini, dapat janji temu hari ini, terima suntikan vaksin pun hari ini,” kata SELangkah di Facebook.

Selangor menyediakan slot vaksin tanpa janji temu di lima PPV terpilih mulai 3 hingga 13 Ogos manakala warga asing dikhaskan di PPV Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya pada 10 hingga 13 Ogos.

Kerajaan Negeri melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program yang bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :