Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat DUN Subang Jaya di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 19 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 3,000 penduduk Subang Jaya terima bakul makanan, baucar RM100

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntukkan lebih RM300,000 untuk menyediakan bantuan makanan kepada 3,554 golongan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Michelle Ng Mei Sze berkata setiap penerima mendapat bakul makanan dan baucar bernilai RM100 yang boleh ditebus di pasaraya terpilih.

Jelasnya baucar makanan turut diberikan kerana ada penerima memerlukan diet tertentu mengikut tahap kesihatan mereka.

“Mereka boleh memilih barangan makanan sesuai dengan diet mereka, jadi tidak ada pembaziran berbanding kalau kami beri bantuan yang sudah ditetapkan.

“Selain itu kami juga berterima kasih kerana ada penderma yang tampil membantu membolehkan lebih ramai penduduk dibantu ketika PKP,” katanya ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma di sini, hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.


Pengarang :