Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Batang Kali di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 8 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 360,000 dos vaksin negeri diberikan sejak Jun

SHAH ALAM, 25 OGOS: Sebanyak 367,599 dos vaksin diberikan kepada penduduk negeri ini melalui program Vaksin Selangor (Selvax) setakat 22 Ogos.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu merangkumi 224,880 dos menerusi Selvax Komuniti manakala baki membabitkan Selvax Industri.

Beliau turut menjelaskan bekalan yang diperuntuk bagi kedua-dua program tersebut kini berbaki sebanyak 882,401 dos.

“Perancangan seterusnya Selgate akan menjual baki pelalian ini melalui klinik panel di seluruh negara untuk melaksanakan pemberian dos vaskin.

“Selvax juga dalam persiapan untuk suntikan ketiga sekiranya perlu dan individu berusia 18 tahun ke bawah tertakluk kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Balakong berhubung baki vaksin negeri dan rancangan seterusnya dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian vaksin secara percuma kepada golongan yang belum menerimanya termasuk pengagihan secara bergerak.

Selvax dilancarkan pada hujung Jun dengan peruntukan RM200 juta membabitkan dua juta dos kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 penduduk yang belum divaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.


Pengarang :