Petugas kesihatan menyuntik vaksin Covid-19 kepada pelajar antarabangsa dalam program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 18 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 80 peratus kes baharu Covid-19 tiada vaksin

SHAH ALAM, 18 OGOS: Sebanyak 83.3 peratus daripada 22,242 kes baharu Covid-19 hari ini didapati tiada atau tidak lengkap divaksin, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah 18,631 kes itu kategori satu (tidak bergejala) dan kategori dua (gejala ringan) merekodkan jumlah pesakit yang tinggi tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Berdasarkan perkongsian jadual pada kenyataan media, sebanyak 8,955 kes didapati tiada/tidak lengkap vaksinasi bagi kategori satu, manakala 9,297 bagi kategori kedua.

Bagi kategori ketiga (radang paru-paru) pula merekodkan 122 kes, kategori empat (perlu bantuan oksigen) 69 kes dan kategori lima (kritikal, gunakan ventilator) 188 kes.

“Dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius. Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan Covid-19 di dalam negara, terutamanya kes di kategori tiga hingga lima,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 225 kes kematian akibat Covid-19 dilapor hari ini dengan jumlah tertinggi dicatat di Selangor dengan 74 kes.

Ia diikuti Johor dengan 37 kes, Kuala Lumpur (24), Sabah (18), Pulau Pinang (15), Kedah (14), Perak (sembilan), Negeri Sembilan (lapan), Melaka (tujuh), masing-masing enam di Kelantan dan Pahang, Terengganu (lima) serta Sarawak (dua).


Pengarang :