Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar selepas menerima suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Jeram di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 3 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 80 peratus penduduk Lembah Klang lengkap divaksin hujung Ogos

SHAH ALAM, 3 OGOS: Lebih 80 peratus penduduk Lembah Klang dijangka lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang hujung bulan ini.

Penyelaras Program Operasi Lonjak Kapasiti berkata susulan itu jangkitan harian tinggi yang direkodkan ketika ini diyakini akan berkurangan.

Jelas Dr Ong Kian Ming, Program Vaksin Selangor (Selvax) anjuran Kerajaan Negeri sejak Jun lalu turut membantu jangkaan berkenaan dicapai.

“Selvax merupakan langkah baik dalam menyelaraskan usaha PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan). Kerjasama ini capai sasaran penduduk Selangor terima satu dos suntikan menjelang Ogos termasuk yang mendaftar di MySejahtera.

“Kejayaan (Selvax) ini bukan kepada Selangor sahaja sebaliknya sebahagian daripada Lembah Klang kerana ada penduduk Kuala Lumpur terima suntikan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bual bicara bertajuk Lonjakan Vaksinasi Lembah Klang yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam ini.

Menurut ahli parlimen Bangi sasaran penduduk lengkap divaksin itu membolehkan Pelan Pemulihan Negara yang dikuatkuasakan di Lembah Klang beralih ke fasa seterusnya.

Kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalinkan kerjasama dengan membenarkan individu yang mendapat janji temu di MySejahtera menerima vaksin program Selvax di beberapa pusat terpilih bagi mempercepat proses vaksinasi penduduk.

Susulan itu, EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah menyasarkan semua penduduk negeri ini lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 menjelang hujung tahun.


Pengarang :