Pelajar jurusan Quran Sunnah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Wardahtul Nazierah Mohd Aziz, 20 (kanan) dan rakannya Nurul Sorfina Mohd Halim Mahadi, 20, bergambar bersama replika jarum selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) UIAM, Gombak pada 18 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lega dapat vaksin negeri, suntikan di kampus UIAM mudahkan penuntut

GOMBAK, 19 OGOS: Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lega apabila selesai menerima suntikan dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti semalam.

Abdul Qayyum Fadzlin, 20, berkata pemberian pelalian Covid-19 di dalam kampus memudahkan penuntut khususnya yang tidak memiliki kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) luar.

Pelajar, Abdul Qayyum Fadzlin, 20. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut pelajar tahun satu jurusan sosiologi, dia membatalkan janji temu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sebuah hospital di ibu kota awal bulan ini berikutan lokasinya jauh dari kampus.

“Apabila dimaklumkan mengenai program Selvax melalui poster yang dikongsikan di kumpulan WhatsApp, saya terus hadir ke PPV ini dan terlebih dahulu mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Saya tidak perlu bersusah payah keluar, hanya berjalan dari asrama yang mengambil masa kurang 15 minit untuk sampai malah prosesnya cukup mudah dan pantas,” katanya kepada Selangorkini.

Hafizzurahman Abu Baqr Hudri, 20, pula menyambut baik pelaksanaan program tersebut bagi mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Pelajar, Hafizzurrahman Abu Baqr Hudri, 20. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Penuntut tahun pertama jurusan bahasa Inggeris berkata kerjasama universiti dengan Kerajaan Selangor mampu mencegah jangkitan sporadik di kawasan kampus.

“Memandangkan sebelum ini ada beberapa kes Covid-19 dikesan di kampus, jadi penting untuk membina imuniti kelompok melalui program seperti ini supaya kesihatan dan keselamatan pelajar lebih terjamin.

“Walaupun sekarang cuti semester, ramai dalam kalangan kami yang menginap di asrama dan memilih untuk tidak pulang ke rumah kerana bimbang risiko kepada ahli keluarga,” kata anak ketiga dari lima beradik yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bagi Farra Naylia Nasya Burhan Shukri dia bersyukur kerana layak menerima vaksin meskipun usianya akan mencapai 18 tahun pada Disember ini.

Pelajar, Farra Naylia Nasya Burhan Shukri, 18. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pelajar tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia berkata dia teruja untuk mendapat suntikan memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“Prosesnya sedikit rumit kerana perlu cetak borang pengesahan dan bawa penjaga ke PPV, namun saya gembira boleh menyertai kawan-kawan lain yang kebanyakannya sudah divaksin,” kata anak bongsu dari empat beradik.

Kerajaan Negeri bekerjasama dengan UIAM bagi meningkatkan kadar suntikan vaksin dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Sebanyak 10,000 dos diperuntukkan dengan 5,000 daripadanya digunakan untuk suntikan dos pertama bermula kelmarin sehingga semalam manakala baki untuk dos kedua.


Pengarang :