Orang ramai bergambar selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lengkap dua dos, peserta vaksin Selangor ‘rasa lebih selamat’ keluar rumah

PETALING JAYA, 13 OGOS: Peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti berasa lega dan lebih yakin dengan keselamatan diri apabila berjaya melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19.

Suri rumah Siti Halimah Hap Bibik, 40, berkata beliau hadir bersama adik dan kakak iparnya untuk mengambil suntikan kedua pelalian yang diperuntuk menerusi program dilaksanakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.

Siti Halimah Hap Bibik. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya berasa lega dan lebih selamat jika perlu keluar membeli keperluan harian.

“Malah mengambil peluang hari terakhir program tanpa janji temu dengan membawa anak sulung berusia 18 tahun untuk mengambil vaksin,” kata ibu empat cahaya mata itu.

Pekerja kilang P Maagesan, 32, berkata beliau dan isteri B Sangari mengambil cuti hari ini semata-mata untuk melengkapkan suntikan vaksin.

P Maagesan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Walaupun perlu memandu selama satu jam untuk divaksin di Damansara, saya berpuas hati dan berharap dengan suntikan lengkap dapat melindungi kami sekeluarga daripada Covid-19,” katanya yang menetap di Kerling, Hulu Selangor.

Pekerja swasta Ramlah Zainuddin, 58, pula berkata beliau mengambil peluang hari terakhir menyertai program itu bersama suami bagi mengelak dijangkiti wabak seperti dialami Januari lalu susulan peningkatan kes ketika ini.

“Walalupun takut divaksin kerana mempunyai penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi selain mendengar pelbagai cerita tentang kesan suntikan tetapi kami hadir supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.


Pengarang :