Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar selepas menerima suntikan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Dewan MRSM Sungai Besar, Sabak Bernam pada 31 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lima pusat vaksin Selvax tawar suntikan terus, percepat capai imuniti kelompok

SHAH ALAM, 4 OGOS: Lima pusat pemberian vaksin (PPV) bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) menawarkan suntikan pelalian secara terus kepada individu yang masih belum menerima janji temu mulai semalam.

Pusat itu membabitkan PPV Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Penyelaras Program Operasi Lonjak Kapasiti berkata langkah itu memperbanyakkan lagi individu disuntik sekali gus membolehkan imuniti kelompok dibentuk lebih awal.

“Untuk warga asing, Selangor khaskan pada 10 hingga 13 Ogos ini bertempat di PPV Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya,” kata Dr Ong Kian Ming ketika Bual Bicara bertajuk Lonjakan vaksinasi Lembah Klang.

Program disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV.

Pada Jun lalu, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

 


Pengarang :