Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) lengkap memakai set pakaian pelindung diri (PPE) membantu mengawal lalu lintas bagi permudahkan urusan orang awam yang hadir di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lokasi CAC Pelabuhan Klang pilihan tepat, proses laju mudahkan pesakit

PELABUHAN KLANG, 2 OGOS: Perpindahan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dari Dewan Sukan Taman Sri Andalas ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang dianggap pilihan tepat kerana memudahkan urusan pengunjung.

Amir Yahya, 30, berkata dia merasai pengalaman di dua-dua lokasi itu dan menganggap CAC baharu itu lebih terurus dan tersusun.

“Saya ke Sri Andalas untuk pakai gelang pink. Dekat sini (Pelabuhan Klang) untuk potong gelang dan dapatkan pengesahan pelepasan.

“Sana (Sri Andalas) agak sesak, parkir pun susah mungkin disebabkan lokasinya di kawasan perumahan. Sini kawasan lebih luas dan tak campur penempatan penduduk,” katanya.

Khairul Hanif Mustafa, 35, pula berkata urusan di CAC baharu itu semakin sistematik selepas beberapa hari beroperasi.

Khairul Hanif Mustafa

“Jumaat lalu saya datang pakai gelang. Mungkin sebab baharu hari pertama jadi proses agak perlahan tapi hari ini urusan potong gelang lebih tersusun. Dalam tempoh 30 minit selesai semuanya,” katanya.

Sementara itu Samsudin Abdul Nun, 49, menyarankan orang ramai supaya bersedia memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi mempercepatkan urusan.

Samsudin Abdul Nun

“Saya perlu mengambil masa kerana tidak ada SELangkah. Tambahan pula saya turut membawa anak untuk potong gelang.

“Jadi mengambil masa yang agak lama tetapi petugas banyak bantu. Urusan berjalan lancar,” katanya.

Bermula Jumaat lalu, CAC daerah Klang di Dewan Sukan Taman Sri Andalas dipindahkan ke dewan terbabit selepas penduduk Taman Sri Andalas membantah kerana lokasinya berhampiran kawasan perumahan.

Berikutan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengenal pasti lokasi sesuai.

CAC ditubuhkan KKM pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :