AGENDANASIONAL

LRA Sungai Semenyih henti tugas, 463 lokasi dijangka alami gangguan air

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sebanyak 463 kawasan di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan menyebut pencemaran dikesan pada jam 11.10 pagi tadi sekali gus menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Ketua komunikasi korporatnya menjelaskan lokasi terlibat ialah 172 di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

“Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitarnya.

“Berikutan henti tugas LRA Sungai Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual,” kata Elina Baseri.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata Air Selangor mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air kepada pengguna terlibat.

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19,” katanya lagi.

Senarai lengkap lokasi yang terlibat dengan gangguan bekalan air boleh didapati melalui laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

 

 


Pengarang :