Legimin, 53, membawa isterinya Maimunah, 53, menggunakan kerusi roda semasa hadir mendapatkan suntikan pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sijangkang di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Taman Banting Baru pada 8 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mahu balik kampung di Medan, suami bawa isteri lumpuh dapatkan vaksin negeri

BANTING, 9 OGOS: Seorang suami bersemangat membawa isterinya yang lumpuh untuk mendapatkan vaksin negeri bagi melindungi diri daripada wabak Covid-19.

Tiba tiga jam sebelum pusat pemberian vaksin dibuka, Legimin, 53, seorang warga Indonesia nekad menanti giliran, malah berikutan bimbang kesihatan isterinya Maimunah, 53, yang berkerusi roda sejak setahun lalu.

Pasangan tersebut yang lebih 10 tahun menetap di Malaysia bangun seawal 5 pagi sebelum bergerak ke lokasi dengan bantuan seorang rakan.

“Ini peluang yang ada walaupun menunggu lama. Maimunah (isteri) sakit sejak setahun lalu, susah nak hantar pulang ke Medan (Indonesia) jika tidak divaksin.

“Saya kasihan melihat dia tetapi tetap juga kena bawa demi keselamatan. Kerja saya sebagai tukang rumah juga menyebabkan Maimunah berdepan risiko jangkitan,” katanya ditemui di Dewan MPKL Banting Baru semalam.

Bercerita lanjut, Legimin berkata proses pendaftaran vaksin bagi warga asing tanpa janji temu mengambil masa panjang berbanding penduduk tempatan berikutan perlu mematuhi beberapa piawaian.

Legimin, 53. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami bawa bekal nasi dan air supaya tidak lapar. Walaupun tunggu lama tetapi kami bersyukur kerana berjaya divaksin,” katanya yang bercadang menghantar isteri pulang ke kampung selepas lengkap dua dos.

Sementara itu, pemandu syarikat penghantaran R Ramanathan, 46, menghargai usaha Kerajaan Negeri memberi vaksin kepada rakyat Selangor sebagai perlindungan diri.

“Kerja saya hantar barang kepada pelanggan. Saya tidak tahu siapa pelanggan dijangkiti, jadi ini beri risiko kepada isteri dan anak-anak apabila saya balik rumah,” katanya.

Kerajaan Negeri melancarkan program Vaksin Selangor (Selvax) pada Jun bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Usaha melibatkan kos RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :