Majlis Agama Islam Selangor mengagih fidyah dalam bentuk bantuan makanan asas kepada 306 keluarga di Petaling dan Klang pada 7 Ogos 2021. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSISELANGOR

Mais agih fidyah kepada 306 keluarga terkesan pandemik

SHAH ALAM, 8 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah kepada 306 keluarga di sekitar Petaling dan Klang yang terkesan Covid-19.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook semalam memaklumkan sejumlah RM30,600 diperuntuk dalam bentuk bantuan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak bernilai RM100.

“Agihan fidyah kepada penerima ini dengan kerjasama lapan rakan strategik Mais terdiri daripada kariah surau dan masjid di sekitar Petaling dan Klang.

“Terima kasih kepada semua pembayar fidyah dan semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan bebanan mereka semua,” katanya.

Masyarakat Islam yang ingin membayar fidyah secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Mais memperuntuk sebanyak RM2 juta agihan fidyah bagi membantu 20,000 keluarga Islam yang terkesan akibat pandemik.

Bantuan dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah, individu dibuang kerja, cuti tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau yang hilang punca pendapatan.


Pengarang :