AGENSISELANGOR

Mais bimbing asnaf terlibat dadah, sumbang mahram mulakan hidup baharu

SHAH ALAM, 31 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntuk sebanyak RM16 juta bagi membimbing 1,046 asnaf riqab negeri ini memulakan hidup baharu.

Setiusahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata bantuan melibatkan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

“Mereka dibelenggu masalah sosial dan akidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan terpesong agama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Shahir berkata pihaknya turut menganjur Kempen Bulan Pembebasan Riqab selama sebulan mulai hari ini bagi membolehkan masyarakat mendekati golongan berkenaan.

Menurutnya, kempen dirasmikan secara langsung di Facebook Mais oleh pengerusinya Tan Seri Abdul Aziz Mohd Yusof pagi tadi.

“Diharap penganjuran ini menjadi ruang untuk masyarakat mendekati asnaf riqab serta prihatin terhadap masalah kesihatan dan sosial ketika ini.

“Masyarakat yang ingin mengetahui aktiviti kempen ini boleh mengikuti Facebook Mais,” katanya.

 


Pengarang :