Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bercakap kepada Media Selangor selepas penyerahan sumbangan Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais cadang bangun aplikasi permudah sedekah ketika pandemik

SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bercadang membangunkan aplikasi sebagai salah satu inisiatif kepada jemaah yang tidak dapat hadir ke masjid atau surau untuk bersedekah.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pandemik Covid-19 telah menyebabkan bilangan jemaah yang hadir kini terhad dan secara tidak langsung sumbangan bagi menampung keperluan rumah ibadat turut terkesan.

“Pada masa ini sumbangan diterima melalui kotak derma. Mais sedang berusaha membangunkan aplikasi tersebut dan walaupun jemaah tidak hadir tetapi mereka boleh menyumbang menerusi dalam talian.

“Kita dalam peringkat kajian dan insya-Allah apabila perkara itu disediakan ia memberi manfaat kepada masjid dan surau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek cura Mais kepada masjid, surau dan pusat tahfiz di negeri ini yang terkesan akibat Covid-19 di Lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini semalam.

Pada 1 Jun, Kerajaan Selangor menetapkan hanya enam jemaah dibenarkan bagi solat Jumaat dan fardu di semua masjid, surau dan musolla seluruh negeri.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata keputusan itu hanya melibatkan pentadbir hingga ke suatu tempoh ditetapkan.


Pengarang :