Pengerusi Mais Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof melekat Jalur Gemilang pada van Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan di Lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 25 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais sedia dana tambahan RM4 juta bantu keluarga terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 25 OGOS: Peruntukan tambahan sebanyak RM4 juta disediakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi membantu keluarga terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak Jun lalu.

Pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata dana melalui program agihan fidyah akan memanfaatkan seramai 40,000 keluarga Islam di seluruh Selangor sehingga akhir tahun ini.

“Sebelum ini kita sudah selesai agihkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta dan menyediakan bajet tambahan baharu sebanyak RM4 juta yang akan digunakan sehingga hujung tahun ini untuk meringankan beban mereka yang hilang mata pencarian.

“Bantuan berbentuk makanan dan kewangan disalurkan kepada individu ditimpa kesusahan terutama asnaf fakir dan miskin,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan simbolik penyerahan Jalur Gemilang dan melekat bendera pada kenderaan secara pandu lalu sempena Hari Kebangsaan di lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Turut hadir Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar, Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) Dato’ Mohammad Adib Husain.

Sumbangan kepada individu layak dilaksana dengan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, masjid dan surau di daerah terlibat.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh layari laman sesawang www.mais.gov.my atau transaksi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.


Pengarang :