Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) menerima zakat perniagaan berjumlah RM2.77 juta daripada Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad dalam satu majlis di Shah Alam pada 4 Mei 2021. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Mais yakin usaha perkasa ummah menjelang 2024 berjaya dicapai

SHAH ALAM, 10 OGOS :  Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yakin pengurusan hal ehwal Islam di negeri ini ke arah lebih bersistematik berjaya dicapai menerusi Pelan Strategik Mais 2020-2024.

Pengerusinya berkata perancangan yang disusun mampu dilaksanakan dengan baik hasil kerjasama semua istitusi agama Islam di negeri ini meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19 yang kian mengganas.

“Pelan lima tahun itu antara lain menggariskan pemerkasaan ummah dan generasi Rabbani (berpegang kepada al-Quran dan sunnah) selaras tema Maal Hijrah 1443H iaitu Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti.

“Mais telah menstruktur modal Insan Rabbani sebagai panduan menyeluruh bagi mengukur pencapaian tadbir Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat, ” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerusi program `Mais Bermunajat dan Perutusan Tahun Baharu Hijrah 1443H di Facebook malam tadi.

Beliau berkata Mais menggariskan lima komponen Rabbani iaitu penguasaan ilmu fardu ain dan kifayah, pemantapan pengurusan, pemerkasaan dakwah, penyuburan kerohanian serta pengukuhan adab dan sahsiah.

Pada 22 September tahun lepas, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Pelan Strategik Mais 2020-2024.

Perancangan itu dibangunkan bersama beberapa agensi negeri bagi mendaulatkan syiar Islam dalam memperkasakan ummah Selangor.

Melalui pelan lima tahun itu sembilan strategi dan 16 inisiatif disasarkan merangkumi aspek ekonomi, modal insan, undang-undang, pendidikan dan agama.


Pengarang :