Petugas kesihatan memberi penerangan sebelum melakukan suntikan vaksin secara pandu lalu kepada kakitangan SIRIM ketika Program vaksinasi pandu lalu SIRIM bersama Selvax di Ibu Pejabat SIRIM, Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majikan tidak benarkan staf ambil vaksin berdepan tindakan

AMPANG, 15 OGOS: Mana-mana majikan di negeri ini yang tidak membenarkan pekerja mereka menerima suntikan pelalian Covid-19 bakal berdepan tindakan penguatkuasaan.

Jawatankuasa program Vaksin Selangor (Selvax) Industri Rodziah Ismail berkata arahan tersebut akan dikeluarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.

“Tidak lama lagi beliau (Amirudin) akan mengeluarkan satu arahan iaitu kilang tidak memvaksin pekerjanya akan dikenakan penguatkuasaan.

“Tindakan tersebut wajar dibuat demi memelihara keselamatan pekerja,” katanya selepas menyerahkan geran peralatan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) di pusat sehenti di sini semalam.

Rodziah juga menyaran majikan membuat pendaftaran awal untuk pekerja mendapatkan pelalian bagi mengelak kesesakan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurutnya, berlaku kesesakan di beberapa PPV di Selangor sejak kebelakangan ini membabitkan pekerja warga asing yang hadir tanpa janji temu.

“Ramai pekerja tampil ke depan untuk menerima suntikan vaksin, namun majikan perlu mengingatkan mereka mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) sepatutnya di PPV dan jangan bersikap lepas tangan,” katanya.

Selangor menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :