Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19 yang koma di wad unit rawatan rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 13 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Makin ramai wanita hamil perlu rawatan rapi, naik sekali ganda sejak Julai

SHAH ALAM, 11 OGOS: Dalam tempoh sebulan, jumlah wanita hamil yang perlu rawatan rapi akibat jangkitan Covid-19 meningkat hampir sekali ganda daripada tiga peratus pada 10 Julai kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos.

Peratusan ini merujuk jumlah kes ibu hamil yang memerlukan rawatan rapi dibandingkan semua kes jangkitan Covid-19 yang mendapat rawatan sedemikian.

Mereka ini yang berada dalam kategori tiga hingga lima meningkat daripada 29 orang pada awal Julai kepada 58 orang sehingga semalam, kata ketua pengarah kesihatan hari ini.

“Analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti Covid-19 yang
menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah satu dalam 20.

“Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu satu dalam 220,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Semua pesakit Covid-19 dibahagikan kepada lima kategori, termasuk dua yang tidak serius. Pesakit yang mengalami radang paru-paru diletakkan dalam kategori tiga, perlukan bantuan oksigen (kategori empat) dan kritikal (kategori lima).

Isu ibu hamil menjadi perhatian utama apabila selebriti Siti Sarah Raissuddin yang mengandung tujuh bulan meninggal dunia kelmarin setelah ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) beberapa hari sebelumnya.

Isteri pelawak Shuib Sepahtu yang melahirkan anak Jumaat lalu tidak sempat mengambil vaksin kerana sedang hamil. Pasangan berkenaan bersama tiga cahaya mata disah positif pada 27 Julai.


Pengarang :